Jan 31, 2014

Bab 9 DAFDAA

Kira-kira jam 12 tengah malam, kami sampai di Gombak. Hujan renyai-renyai ibarat mengulit aku untuk tidur lebih nyenyak.

“Awak, dah sampai ni,” perlahan dia mengejutkan aku. Tangannya bertindak menggoncang bahuku.

Aku tersentak dan bingkas cuba untuk bangkit dari tempat duduk.

“Eh, eh, kat mana ni?” jawabku dengan nada cemas. Aku menoleh ke kiri dan kanan beberapa kali.

Terkejut ku ibarat seseorang yang baru ternampak hantu pocong! Aduh, malunya.

Aku sebenarnya memang mudah tersentak. Jantungku lemah dengan kejutan.

“Ki..ta.. dah sampai,” dia mengulangi ayat itu, perlahan, persis seorang ayah melayan kerenah anak kecil. 

Sengaja dia melanjutkan sukukata ‘ki’ dan ‘ta’ itu panjang-panjang. Untuk bagi aku come to my sense agaknya.

Terkebil-kebil mataku. Ketika ini barulah rasional menyertaiku. Akhirnya aku menarik nafas.

“Oh dah sampai,” selesai mengucapkan kata-kata itu, aku diserang rasa malu yang amat. MasyaAllah bagaimana aku boleh tersentak sebegitu rupa.

Aku harap dia tidak terkejut dengan reaksiku yang tidak dibuat-buat itu. Aku memang alah dengan kejutan. Semua ahli keluarga aku sudah masak dengan tabiatku yang satu ini. Malah ada di antara mereka yang sengaja mengambil kesempatan dengan membuat aku terkejut. Andai sahaja mereka tahu apa yang aku rasa. Setiap kali mereka cuba untuk membuat aku terkejut, jantungku ibarat terhenti ketika itu. Namun, aku menganggap tiada yang serius tentang gejala ini. Mungkin sekadar tabiat biasa atau gangguan hormon sahaja.

Aku melihat dia tersenyum. Tidak tahan berlama-lama di situ, aku bingkas bangun dan keluar dari swift itu. Masih merona merah wajahku. Berkali-kali aku memarahi diriku sendiri dek perilaku yang di luar kawalan itu.

Dia pun turut keluar dari kereta dan mengambil beg aku dari tempat duduk belakang. Dia berjalan ke arah pintu dan membuka pintu yang berkunci itu.

Kami sama-sama masuk ke dalam rumah. Aku yang masih terkesan dengan apa yang berlaku tadi, akhirnya hanya melabuhkan punggungku di atas sofa. Mataku terasa semakin berat.

“Kenapa tak masuk bilik, awak?” dia laju bertanya. Dia sibuk mengangkut barang-barangnya dari dalam kereta.

Aku masih terpinga-pinga. Hendak masuk ke bilik, terasa segan.

“Awak masuklah bilik. Jangan risau, saya tidur kat luar macam hari tu.,”

Setelah mendengar apa yang dikatakan olehnya, aku laju menuju ke arah bilik tanpa berfikir panjang lagi.

Malam kian larut. Sang cengkerik mula mengeluarkan irama. Bulan pula indah mempamerkan cahayanya. Semuanya khusyuk dalam zikir dan puji-pujian kepada Tuhan Pencipta alam.

Kring! Kring! Kring!

Jam loceng telefon tanganku berbunyi. Aku cuba menutup alarm itu dan menilik jam di telefonku itu. Tertanya sekarang sudah jam 4.30 pagi.

‘Allah’ mulutku berbisik. Sambil menggosok-gosok mata, aku bingkas bangkit dari tempat tidur. Kemudian aku menganggkat tangan dan berdoa,

“Alhamdulillahillazhi ahyana ba’da ma amaitana wa ilaihin nusyur”

Di dalam hatiku,

‘Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadaNya kami kembali’
Aku menekup tangan dengan perasan yang bersyukur kerana Allah masih sudi meminjamkan hari yang baru buat aku. Aku memasang niat untuk melakukan segala pekerjaan pada hari ini lillahitaa’la.
Aku memandang ke arah sisiku, dia tiada di situ. Sekali lagi aku diruntun rasa bersalah. Tidak sepatutnya aku membiarkan dia tidur di luar. Apatah lagi dia sudah keletihan memandu sepanjang hari. Terusik hati kecilku dengan pengorbanannya.

Sebelum aku ke bilik air untuk mengambil wuduk, aku singgah ke ruang tamu. Aku melihat sekujur tubuh yang sedang lena tidur di atas sofa, tanpa berselimut. Terbit rasa kasihan di sudut hatiku melihat keadaannya. Aku melangkah ke arahnya. Aku berhajat mengejutkannya untuk sama-sama mengerjakan solat tahajjud.

Namun, aku menghentikan langkah apabila qasidah Ya Hanana berkumandang di telefon bimbitnya. Ternyata dia memilih qasidah itu sebagai alarm untuk mengejutkannya dari tidur. Badannya kelihatan bergerak-gerak. Tidak lama kemudian, dia perlahan-lahan bangun tidurnya lalu bangkit dari tempat pembaringannya. Aku tergamam melihatnya. Aku melihat mulutnya terkumat kamit menutur sesuatu. Membaca doa bangun tidur agaknya. Usai, dia mula bangun berdiri dan perlahan-lahan mengatur langkah. Aku pula masih belum berganjak dari tempat di mana aku berdiri.

Akhirnya, pandangan kami bertemu dan entah kenapa, ianya terasa amat indah sekali. Aku terpana melihat seorang lelaki yang sanggup meninggalkan tidurnya untuk bersama Tuhannya.

Dia tersenyum kecil, dan melemparkan riak wajah yang amat menyenangkan. Dia terus berjalan ke arah ku dan seraya berkata,

“Jom, awak,”

Malam itu, kami tenggelam dalam cinta kepada Rab yang Esa. Kami solat tahajjud berjemaah. Usai solat, dia berdoa. Panjang sekali doanya. Aku pula menadah tangan dengan khusyuk.

Aku merasa titik-titik mutiara putih laju menitis di pipiku tatkala mendengar si dia yang bergelar suami syahdu memohon doa pada yang Esa. Benar ini adalah Ali Haidar, dan benar sekali dia telah bergelar suamiku sekarang. Dan lagi benar, dialah yang sedang mengimamkan ku sekarang. Apa yang aku alami sekarang adalah terlalu indah untuk aku hadam. Terlalu manis hingga kadang-kadang membuat kepalaku sakit.


Dengan perasan yang bercampur baur, aku menundukkan wajahku yang hina dina untuk sujud kepada yang Maha Esa. Tanda syukurku. Hanya itu yang mampu aku lakukan buat masa sekarang.

Bersambung...

2 comments: