Jan 27, 2014

Bab 7 DAFDAA

Senja kian menjelma. Matahari kini bersiap siaga untuk melabuhkan tirainya. Bulan pula semakin ghairah untuk melaksanakan perintah Tuhan dengan menampakkan dirinya. Semua pelajar UIAM Kuantan sibuk dengan hal masing-masing. Ada yang baru hendak turun ke kafe untuk membeli juadah makan malam, ada juga yang baru pulang dari jogging di Tasik Bandar, tak kurang juga berkurung di dalam bilik masing masing-masing.

Aku memerhatikan gelagat penghuni UIAM dari jendela bilikku sementara aku memasukkan telekung solat ke dalam beg sandang kecil yang kubawa kemana-mana sahaja ku pergi. Aku kini telah bersiap sedia untuk ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Semenjak masjid telah ditubuhkan, hatiku terpaut kepada masjid itu. Solat di masjid UIAM itu terasa amat tenang. Rasanya seperti menjadi tetamu jemputan Allah apabila berpijak di rumah Allah itu. Dek kerana perasan yang sayu dan tenang yang aku perolehi setiap kali berkunjung ke masjid, aku tidak akan melepaskan peluang setiap kali mempunyai masa terluang terutama di waktu maghrib dan isyak.

Dengan berpakaian jubah coklat cair, aku menyapu minyak wangi kasturi yang telah dibacakan ruqyah di pergelangan tanganku. Pada aku, jika hendak menjadi tetamu di rumah Allah, hendaklah aku berwangi-wangian dan mengenakan pakaian yang terbaik. Bukankah yang akan aku temui nanti ialah Khaliqku? Masakan bersahaja, jika hendak bertemu sultan sahaja harus bersiap dengan pakaian kuning bersamping bagai, ini pula bertemu untuk Tuhan. Allahu Akbar.

Aku mengerling ke arah katil lalu tersenyum.

‘Alhamdulillah, siap juga aku packing baju walaupun tadi siang rancak berbual dengan Ana hingga tidak sedar waktu berlalu,’ dalam diam aku memanjatkan kesyukuran.

Sebelum berjalan ke masjid, aku sempat menyemak mesej di inbox telefon tanganku.

“One Message Received”

‘Salam. Sayang, abang dah selesaikan kerja abang. InsyaAllah, abang akan solat maghrib di Masjid UIAM. Kita nak jumpa di mana nanti?’

6.15 pm

Alamak, tak perasan ada dia hantar mesej. Cepat-cepat aku menekan butang ‘reply’

‘InsyaAllah saya pon nak ke masjid. Kita jumpa di depan masjid sahajalah nanti ya. Maaf lambat balas, saya tak perasan ada mesej awak.’

Setelah butang ‘sent’ kutekan, terdengar laungan namaku di panggil oleh Eyqa dan Ana. Mereka menungguku untuk ke masjid bersama-sama.

Aku terfikir sama ada dia sempat membaca mesejku itu, memandangkan waktu maghrib hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi. Mungkin dia kini sudah di masjid. Tidak mengapalah, mungkin lebih baik aku fokus untuk menunaikan solat maghrib nanti. Aku tidak mahu solatku nanti disertai dengan fikiran dunia. 

Malu benar rasanya dengan Rabbiku. Sudah banyak nikmatNya yang aku nikmati, masakan beberapa minit waktu untuk solat, tak mampu untuk aku betul-betul memberi sepenuh perhatian kepada Allah. 

Seterusnya perjalanan kami ke masjid, kami masing-masing sertainya dengan zikir puji-pujian kepada Allah, yang maha layak ke atas segala puji-pujian.

Selesai solat Maghrib, kami bersalam-salaman. MasyaAllah ketika itu terasa betapa cantiknya aturan Allah. Dengan solat secara berjemaah, ukhwah kami terasa sangat rapat. Bukan sahaja kami bertiga, namun dengan seluruh jemaah muslimat yang datang ke masjid ketika itu. Dengan hanya bersalaman antara satu sama lain, kami merasakan bahawa kami adalah satu. Tidak perlu kata-kata yang panjang, tidak perlu perbualan duniawi, tidak perlu tempoh masa yang lama, hanya dua saat bersalaman dan bertukar senyuman cukup untuk mengikat hati-hati kami. Ini adalah kerana, kami bersatu di bawah iman dan paksi kepercayaan yang sama. Cukup dengan cinta kepada Allah dan RasulNya, Nabi Muhammad SAW, ukhwah boleh terbina dengan sekelip mata. Tabarakallah!

Kemudian aku menunaikan solat sunat ba’diyah dua rakaat. Usai, aku meminta izin pulang dari Eyqa dan Ana. Aku harus pulang dahulu kerana aku telah berjanji dengan lelaki itu untuk bertemu di hadapan masjid selepas solat Maghrib.

Aku berjalan keluar dari masjid. Kelihatan dari jauh susuk tubuh yang aku kenali. Dia berdiri di sebelah swift hijau miliknya. Aku mendekati dia. Terasa sedikit berdebar-debar jantungku.

“Assalamualaikum,” aku menyapa.

“Waalaikummussalam warahmatullah,” jawabnya, sedikit terkejut. Dia tidak menyangka aku akan muncul dari belakang.

“Dah lama awak tunggu?” aku berbasa-basi.

“Tak adalah, abang pon baru sahaja sampai kat sini,” jawabnya sambil tersenyum.

Aku melihat dua orang pelajar sister junior berjalan melepasi kami sambil menoleh-noleh ke arah kami. Walaupon aku dan dia sudah bergelar suami isteri, namun aku masih terasa segan apabila ada yang melihat sebegitu. Tambahan pula aku yang kini bertudung labuh bersama seorang lelaki di tempat yang agak suram. 

Tanpa sepatah bicara, aku tunduk.

Ibarat memahami gelisah hatiku, dia tangkas bersuara,

“Sayang, jom. Tak sedap pula abang rasa duduk kat sini lama-lama. Takut jadi fitnah pula nanti. Gelap ni,” dia laju menuturkan kata sambil merapatkan wajahnya ke cuping telingaku. Lagaknya seperti ala-ala berbisik kepada aku. Aku terkejut bukan kepalang dengan tindakannya yang tidak aku sangka-sangka itu. Kakiku sedikit terganjak ke belakang. Apabila melihat reaksiku, dia ketawa kecil. Semakin dalam tundukku.
Tak lama kemudian aku menganggkat muka. Tidak mahu berlama-lama di situ, aku terus menuturkan kata,

“Mari awak. Kita kena singgah di mahallah saya dulu. Saya hendak ambil beg baju saya. Ya?” aku pantas berjalan ke arah pintu kereta.

“Baik sayang. Abang pon dengar banyak anjing di UIA Kuantan ni kan,”

Aku mengangguk dan terus memuatkan diriku ke dalam swift hijau itu.

Dia juga telah masuk ke dalam kereta dan melabuhkan punggung di tempat duduk pemandu. Tak semena-mena dia bersuara,

“Sayang tak nak salam abang ke?” pendek namun mampu menghadiahkan serangan supersaya untuk hatiku.

Mendengarkan kata-katanya, mataku terkebil-kebil. Astaghfirullah, aku sendiri tidak tahu macam mana aku boleh terlupa untuk menyalami tangannya. Mungkin kerana aku terlalu segan tadi.

Untuk seketika, aku tak mampu bersuara. Aku menarik nafas dan mengumpulkan semua kekuatan yang aku ada ketika itu. Aku berpaling ke arahnya.

“Maaf,” aku cuba sedaya upaya untuk mengawal suaraku sambil menghulur tangan ke arahnya.

Dia menyambut huluran tanganku, lalu aku menundukkan kepala dan mencium kedua tangannya.

“Tak apa sayang,” dia bertutur lembut sambil sebelah lagi tangannya menyapu lembut ubun-ubun aku. Aku terasa damai.

‘Ya Allah, inikah lelaki yang Kau hantar untuk menjagaku dari pihakMu ya Allah? Diakah yang akan membimbingku sehingga aku mampu mengenal dan mencintai Mu dengan lebih mendalam ya Allah? Diakah yang akan menjadi temanku di syurga FirdausiMu kelak ya Allah?’

Lintasan hati demi lintasan hati memuncak di mindaku kini. Sehingga aku terasa seperti manik-manik putih bakal mengalir turun di pipiku. Namun, sedaya upaya aku tahan.

Aku lalu menggangkat wajahku dan melemparkan pandangan ke hadapan. Dengan suara yang paling perlahan, aku berkata,

“Maaf awak, saya terlupa,”

Dia tersenyum dan mula menghidupkan enjin kereta.

“Takpe,”

“Eh, awak tahu ke kat mana mahallah saya?” aku kembali bertanya dengan nada hairan apabila dia memandu dengan yakin tanpa bertanya arah kepada aku.

“Mestilah abang tahu sayang. Ini bukan pertama kali abang datang sini,” selamba dia berkata-kata.
Terdiam aku. Ya tak ya juga, aku menggangguk sendiri. Dia pula ketawa kecil melihat gelagatku.

“Abang kena berhenti kat sini kan? Tak boleh pergi ikut jalan belakang kan? Ke dah boleh sekarang? Hari tu sayang tak bagi, katanya akan masuk kawasan asrama sister. Bimbang ganggu privacy,”

“Saya ada bagitahu macam tu ya? Betul lah tu, kalau ikut jalan belakang, awak akan nampak bangunan mahallah sister. Saya bimbang awak akan nampak apa yang tak sepatutnya nanti,” aku laju menjawab pertanyaannya.

Dia tersenyum mendengar jawapanku.

“Okay, abang tunggu kat sini. Sayang pergilah ambil beg sayang. Ke nak suruh abang temankan?”
Aku tergelak mendengar cadangan daripada dia itu. Kalau hendak lalu ikut jalan belakang pon aku tidak bagi, apatah lagi untuk menemani aku hingga ke bilik. Ada-ada saja dia ini.

“Kalau tak malu, marilah temankan saya,” aku menjawab selamba sambil membuka pintu kereta. Mulalah tu nak mengusikku. Dalam diam, mulutku menguntumkan senyuman.

Dia tersengih sendiri.

“Tunggu saya kejap ya,” aku menyudahkan ayat sebelum keluar meninggalkan nya di dalam kereta. Lalu aku menghadiahkan senyuman buatnya. Senyuman yang tidak dibuat-buat.

Setelah aku selesai mengambil barang-barangku, kami mula berangkat ke Gombak. Aku sempat menghantar sms kepada Ana dan Eyqa, bimbang aku dianggap menghilang tanpa jejak oleh mereka. Sempat juga aku meminta doa daripada mereka, supaya kami selamat sampai dan yang terbaik untuk aku. Aku yakin yang mereka pasti akan mengerutkan dahi apabila membaca smsku yang menggambarkan aku seakan-akan pergi untuk memperjuangkan sesuatu. Aku sendiri tidak tahu mengapa tanganku tergerak untuk menaip begitu, mungkin kerana pantulan dari diriku yang sangat berdebar-debar untuk hari esok.

Berada di dalam sebuah kereta bersama seseorang yang bergelar suami, terasa seperti sebuah mimpi.  Lebih-lebih lagi apabila orang itu adalah dia. Maha Suci Allah, sungguh ajal dan jodoh itu adalah rahsia besarNya. Sepanjang usia ingatanku, iaitu di tahun satu, masih belum ada rakan-rakan yang melangsungkan perkahwinan. Namun, kami sentiasa mendapat berita-berita perkahwinan senior-senior. Walaupun aku sering digelar ‘wanita hati keras’ oleh rakan-rakanku, namun aku akui hatiku sebenarnya sangat rapuh. Hanya, aku tidak menunjukkannya kepada orang lain. Hatiku juga kadang kala terdetik apabila melihat pasangan yang bernikah awal. Apatah lagi apabila dua sejoli sama cantik, sama padan, sama soleh dan solehah.

 Aku mendapat gelaran ‘wanita hati keras’ itu dek kerana sikapku yang tidak begitu ambil tahu perihal pelajar lelaki. Aku kurang bergaul dengan brothers kecuali apabila ada keperluan seperti bekerja dalam organisasi yang sama.

Oleh kerana sikapku itu, aku sering kali disalahanggap sebagai sombong, walhal aku melakukan itu untuk menolong mereka juga. Aku amat mengerti bahawa fasa usia muda remaja ini adalah fasa yang paling mencabar bagi lelaki. Sebagai seorang perempuan, aku tidak mahu kerana aku mereka terhumban ke lembah dosa. Aku tidak mahu menjadi penyebab mereka tidak menjaga mata. Oleh kerana itu, aku menyekat pergaulanku dengan mereka seperti yang telah digariskan oleh Khaliqku. Aku juga tidak mahu untuk turut terjebak ke dalam kancah cinta palsu. “Cinta” yang telah diprogandakan oleh Barat. Idealisme-idealisme seperti ini seperti merebak ke dalam minda anak-anak muda seperti barah. Laju dan tiada bernoktah. Yang lebih menakutkan adalah mereka percaya bahawa itu adalah kebebasan yang mereka idam-idamkan. Gaya hidup yang sangat stylo dan seronok.

Aku terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga supaya aku tidak tergolong dalam golongan yang pada hematku, sudah menipu diri sendiri dan terkeluar daripada fitrah sebenarnya.

Aku jadi terfikir, bagaimana mungkin Ali menjadi suamiku kini. Dia dahulunya adalah salah satu ujian yang aku anggap Allah datangkan dalam hidupku, untuk aku terus bermujahadah dalam memelihara definisi cinta yang sebenar dari Tuhanku. Dia pernah datang dalam hidupku. Ketika itu, aku juga masih rapuh namun syukur, aku bisa membezakan ‘cinta palsu’ yang ditawarkan. Dia tidak meletakkan Allah dan Rasul di tangga teratas. Dia mangsa silibus cinta palsu yang diajar oleh media arus perdana. Bukan kahwin, tetapi couple yang ingin dijadikan sandaran dalam mendekatiku. Astgahfirullah. Namun, ianya suatu ketika dahulu. Mungkin sekarang sudah tidak sama. Harap-harap.

Lima minit kemudian, aku kembali dengan menggalas beg berjenama Deuter yang bersaiz 3.2 L.

Setelah menempatkan begku di tempat duduk belakang, aku kembali melabuhkan punggungku di tempat duduk sebelah pemandu.

“Dah?” dia bertanya.

“Dah,” aku menggangguk.

“Okay, jom.Bismillahirahmanirahim,”

Dia selanjutnya terus membacakan doa menaiki kenderaan sebelum memulakan perjalanan kami ke Gombak. Aku hanya mengangguk dan tersenyum dengan senyuman yang terpaksa aku buat-buat. Hatiku terasa seperti dilanda ombak debaran yang amat kencang. Inilah saatnya aku terpaksa berdua-duaan kembali dengan my so-called husband, Ali Haidar Hikayat Syah.

‘Fatimah, he’s not your so-called husband okay. He’s your husband. Real one. Segala dosa kau dia yang tanggung, okay,’ hatiku berperang sesama sendiri.

“Okay Fatimah Raudhah, misi untuk malam ni. Berkata yang baik-baik saja ataupun diam,” sekali lagi aku berbisik sendiri. Aku mengangguk angguk perlahan kepalaku.

Perlahan-lahan bersama enjin kereta yang kedengaran, aku membawa keluar telefon bimbitku. Lalu aku buka aplikasi “Pau.” Aku berkira-kira untuk memberi makanan kepada “Pau” aku yang rasanya sudah sebulan lebih diabaikan oleh aku. Sebelum keadaan janggal yang memonopoli atmosfera kami, baik aku cuba menyibukkan diriku dengan bermain “Pau” heh.

Kalau kira memang banyak sangat yang aku nak tanyakan kepada Ali. Tapi mungkin sebab rasa segan yang membuatkan bibirku seakan terkunci rapat ketika ini.

“Bagi makan Pau?” dia memecah kebisuan antara kami.

“Yep, dah lama tak bagi makan kat dia. Dah sebulan,” aku menjawab jujur.

Aku melihat Ali menguntum senyuman.

“Kesian kat Pau tu. Mesti busy sangat isteri abang ni. Nasib baik Pau tu tak hidup betul-betul, kalau tak mesti jadi macam abang,”

Sebenarnya aku sedikit rasa nak tergelak apabila dia bahasakan dirinya abang sebab macam pelik je bagi aku Ali Haidar duk bahasakan diri macam tu. Tambah lagi, kiteorang pulak sama umur sahaja.

“Kenapa pulak dengan awak?”aku membalas.

“Ye lah. Sayang tak perasan ke bang sekarang ni dah makin kurus. Rindu masakan sayanglah,” jawabnya selamba sambil mengenyitkan mata ke arahku.

Aku yang ketika itu sedang meneguk air masak, cuba untuk mengawal air supaya tak tersembur keluar. Aku cepat-cepat menekup mulutku dengan tangan. Kang tak pasal-pasal habis basah satu kereta ni kan.

“Hahaha, kenapa sampai macam tu?”

Amboi sedap pula dia gelakkan orang. Kita tersedak pon sebab dia jugaklah, gomelku di dalam hati.

Setelah ketawanya reda, dia kembali bertanya,

“Macam mana kuliyah, okay? Sayang nampak macam penat. Takpe sayang tidurlah dulu ya,”

Aku tersentak dengan keprihatinannya. Sebenarnya aku memang sangat penat. Hari ni seharian aku berulang alik ke kulliyyah untuk menyelesaikan urusan FYP. Letih sangat rasanya. Namun, aku pasti dia juga penat kerana sudah seharian memandu dari Gombak kemudian menyudahkan ‘kerjanya’ dan kini harus memandu balik ke Gombak semula.

“Awak okay ke? Awak dah seharian memandukan?”

“Takpe lah sayang, abang dah biasa,” jawabnya sambil tersenyum.

“Dah dah. Cukup cakap, tutup mata tu. Kang abang start nyanyi lullaby song kan, makin tak boleh tidur sayang,”tambahnya lagi dengan nada ayat perintah.

‘Awak dah biasa, saya ni yang tak biasa-biasa lagi awak panggil ‘sayang’. Seriau huhu,’ getusku di dalam hati.

“Dah tidur belum tu?  Nak abang dodoikan betul-betul ke?”

“Kalau dah tidur, macam mana nak jawab,” protesku perlahan.

“Apa sayang?” tanyanya lagi.

Aku tahu dia mendengar, tapi saja buat-buat tanya kerana sengihan di bibirnya itu semakin menjadi-jadi.

“Eh, tak de pape. Nak tidur la ni. Dada. Good night,”


Hajatku sebenarnya hanyalah untuk menutup kelopak mata seketika kerana aku juga bimbang membiarkan Ali memandu seorang diri. Sekiranya dia berasa mengantuk sekurang-kurangnya aku ada untuk mengganti. Tapi ternyata awal-awal lagi aku sudah terlena. Kelopak mataku terasa semakin berat dan akhirnya aku dibawa jauh ke alam mimpi. Dan harap-harap tiada air liur basi. Heh.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment