Jan 27, 2014

Bab 3 DAFDAA

Aku membelek album gambar itu. Aneh, wanita di dalam gambar itu persis wajahku, namun..  namun.. seratus peratus akalku menyangkal bahawa wanita itu adalah aku!

“Oh, oh, meriahnya lah majlis kahwin ni. Majlis kahwin siapa la ni agaknya,” sambil menggeleng-geleng kepala, aku bermonolog sendiri.

Anak mataku menyoroti setiap gambar-gambar itu. Pelbagai ekspressi wajah dapat ku lihat. Yang paling tak tahan, apabila aku melihat kemesraan wanita persis wajahku itu dengan Ali Haidar Hikayat Shah. Mula-mulanya dia kelihatan malu-malu, tunduk saja. Si Ali ni pula, tak lepas-lepas dari memandang wanita itu. Agak-agak la bro, depan camera kot. Haish.

Dah tu, lepas aku membelek lebih tiga muka surat, ekspressi wanita itu semakin berubah. Semakin galak pula aku tengok. Duk main cubit-cubit hubby dia pula. Parah. Parah. Tak tetap pendirian sungguh wanita ini.

Berkali-kali aku menggeleng kepala dan terkadang dahiku berkedut seribu garisan.

Tanganku terus bergerak membelek album gambar itu. Walaupun wajahku ku mempamerkan ekspressi yang kurang menyenangkan, namun entahlah, hati ku menghalang demokrasi dengan menggunakan kuasa veto untuk mengarah tanganku bergerak dan mataku terus menatap album gambar itu.

Di muka surat terakhir, kerut di dahiku hilang. Gulp, aku menelan air liur.

“Amboi, senyum. Sampai ke telinga!” aku bersuara rendah.

Tanganku ku pantas menutup album itu. Aku mengurut-urut dadaku. Tanpa aku sedar, hati kecilku terusik melihat gambar terakhir tadi. Gambar pengantin lelaki yang tersenyum manis sambil tangan buat gaya “peace.”

Apa ini? Apa rasa ini? Datang lagi kah rasa ini dalam kamar hatiku? Buakankah suatu ketika dulu ia pernah datang dan aku sudahpun menghalau nya? Takkan tak malu sangat nak datang lagi. Eh, pergi. Pergi. Jangan kacau hatiku yang sedang damai kini.

Tak adalah Fatimah, kau rasa dia comel je tu. Hm betul, standard lah rasa lelaki comel. Rasa comel dengan rasa suka lain. Memang lain, macam makan lollipop seposen dengan makan coklat Cadbury!

 “Acik oo acik!” ibuku melaungkan namaku.

Aku tersentak. Haih emak ni, buat terkejut je. Aku duk terbayang si Ali panggil yang panggil.

Selamat.

 “Ya mak,” pantas aku menjawab

“Buat apa tu? Mari tolong mak kat dapur ni,”

Aku mengerling jam di dinding. Jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari.

‘Patutlah, dah nak start masak dah masa ni’ aku bermonolog sendirian.

“Ya mak, acik datang ni,”aku menyahut panggilan ibuku itu.
Sejurus sampai di dapur, aku terus bertanyakan emak apa yang hendak dimasak olehnya pada hari ini.

“Masak sayur lemak, cik,” jawab mak selamba.

Aku terus ke rak pinggan dan mengambil besen biru bersaiz sederhana. Aku berjalan kea rah peti sejuk dan mula bertanya,

“Mak, nak kena ambil sayur apa ni mak? Kubis saja ke mak?” aku pantas bertanya, tidak mahu memandai-mandai, bimbang sayur lemak emak tidak menjadi nanti.

“Ambillah sayur kubis, lobak merah, dengan lada besar. Kacang panjang ada tak? Kalau ada ambillah sekali. Hish dia ni, dah anak dara pon nak kena mak beritahu lagi sayur apa nak guna. Macam mana la kamu masak untuk laki kamu acik,” emak mula berbicara ala-ala bebelan manja.

“Mak ni, acik nak belajar la ni. Nanti kan boleh acik masak untuk si Ali tu nanti,” aku menyambung bicara.

“Dah 24 tahun mak membesarkan kamu, masa ni baru hendak belajar. Bertuah sungguh anak mak sorang ni,”

Aku hanya tersengih. Aku lantas mengambil sayur-sayur yang telah diberitahu oleh emak tadi dan mula merendam di dalam air garam. Ku biarkan ia seketika.

“Acik, sakit kamu macam mana? Dah pulih sepenuhnya ke belum?” emak bertanya kepada aku sambil menyiang ikan kembung yang baru dibeli dari pasar pagi tadi.

Mendengar soalan itu, serta merta air mukaku berubah. Sengihku tadi hilang.

“Hmm, macam tu la mak. Acik tak dapat ingat lagi apa yang berlaku dua tahun lepas. Memang acik langsung tak boleh ingat. Setiap kali acik cuba untuk ingat balik, sakit kepala ni mak,”aku mengadu kepada emak ibarat anak kecil.

“Ini lah ujian yang Allah takdirkan untuk anak mak yang seorang ni. Acik kena tabah. Allah tahu acik boleh laluinya sebab tu Dia bagi ujian ni kat acik. Cuma mak minta kamu tu janganlah dingin sangat dengan Ali. Dia tu baik budaknya,cik,”

Tersentak aku mendengar pernyataan emak.

“Kenapa mak kata macam tu? Obvious sangat ke mak acik ni macam dingin dengan Ali? Ke Ali ada cerita apa-apa dengan emak?” aku bertanya pantas.

“Tak adalah, biasanya kalau kamu balik rumah hujung minggu macam ni, Ali akan ikut kamu balik sekali. Kenapa kali ini kamu seorang sahaja yang balik?” emak pula melontarkan soalan.

“Acik balik sini sekali dengan Ali??  Ye ke mak?” tanyaku pantas kepada emak. Tanpa aku sedar, aku menggeleng-gelengkan kepalaku.

Hish, tak boleh bayang aku Ali balik sini dengan aku. Gulp.

Emak terkelip-kelip melihat tingkah ku. Menyedari renungan pelik emak, aku hanya tersengih.

“Entahlah mak, acik rasa baru semalam yang mak beria-ia sangat tak sokong pelajar macam kami ni kahwin awal. Eh, tiba-tiba acik pula dah ada suami, tak senang acik nak terima mak. Tapi, acik dah minta izin Ali untuk balik. Dia tak ada cakap pon nak balik sekali. Alah dia busy la tu. Lagipon Gombak ke sini kan jauh, dia jugak yang letih nanti,” aku cuba mencari point untuk menyokong tindakanku.

“Ye lah, itu kata kamu. Tapi sebelum ini, yang emak tahu, jauh ke dekat ke, memang dia akan balik sekali. Nak menjenguk emak dan abah katanya. Atau mungkin dia kecil hati kamu tak ajak dia. Tak pakat dulu dengan dia nak balik. Mak faham keadaan kamu sebab tu lah mak guna perkataan minta. Yang namanya ujian dan dugaan cik, memang tak senang. Walau macam mana pon, syariat Allah kamu tetap kena utamakan,” panjang lebar emak menghadiahkan nasihat yang padaku amat berharga sekali.

‘Erk, selalu balik sini dengan aku? Biar betul. Sweet jugak dia ni. Hish tak nak fikir. Tak nak fikir’ omelku sendiri.

Kemudian, aku menelan air liur. Ya, aku baru teringat yang aku memang langsung tak mengajaknya untuk balik sekali, jauh sekali untuk berpakat. Apa yang aku lakukan hanyalah meminta izin darinya, itupun hanya dengan kiriman sms yang ringkas. Takkan dia terasa hati kot. Mana aku tahu, dia selalu nak balik sini sekali dengan aku. Dalam aku berfikir.

“Mak,” aku memanggil dengan nada perlahan. Kemudian aku menyambung,

“Mak tahu kan acik macam mana. Acik tidak mudah mesra dengan orang. Dia masih asing bagi acik mak. 
Susah nak terima tiba-tiba sudah ada suami. Hal acik biasanya memang acik tak kongsi dengan orang,” aku mula berbicara dari hati ke hati.

“Ye lah acik. Mak faham kamu. Tapi bukankah Ali tu teman sekolah kamu dari MRSM dulu? Takkan kamu tidak ingat dia langsung, ingatan kamu hilang dua tahun sahaja kan?” emak membalas dengan pertanyaan.

Aku terkejut dengan pertanyaan emak. Aku yakin emak masih belum tahu apa yang berlaku di antara aku dan Ali sebelum ini. Namun, aku malas hendak membuka cerita lama. Biarlah aku seorang sahaja yang tahu. Akan ku simpan kemas di dalam lubuk hatiku.

“Acik ingat mak. Memang kenal, tapi mana rapat mana,” aku membalas. Walaupun aku sedikit berdalih namun aku memang bercakap perkara yang benar.

“Ikut suka hati kamulah acik. Pandai-pandai lah kamu berdua. Dua-dua pon sudah besar panjang. Sudah tahu mana yang baik mana yang buruk. Cuma mak boleh bagi nasihat sajalah, ya lah mak kan dah pernah makan garam dulu daripada kamu,” senada tutur kata emak.

“InsyaAllah, acik cuba. Selama ini pon acik memang cuba. Mungkin makan masa sedikit. Acik harap sangat Ali faham keadaan acik,”aku pula berkata-kata.

Aku faham hati seorang ibu. Dia sentiasa bimbangkan anak-anaknya ibarat mereka masih kecil dan masih perlu ditatang. Aku sangat menghormati ibu dan mengkagumi insan bergelar ibu itu. Nasihatnya walaupun pendek namun sentiasa memberi impak yang besar di hatiku. Paling kurang, akan mengurangkan tekanan aku dan memberi semangat baru untuk aku melangkah keluar daripada bulatan permasalahanku.

“InsyaAllah cik, mak doakan kamu,”

Aku tersenyum.

“Terima kasih, mak,” pantas aku membalas.

Setelah itu, aku mula bangun dari tempat dudukku dan membasuh sayur-sayuran yang kurendam didalam besen biru sebentar tadi. Aku mengambil papan pemotong dan pisau. Kemudian aku mula memotong sayur-sayur itu.

“Mak, acik hendak tanya sedikit boleh?” aku memulakan perbualan.

“Apa dia anak?” emak membalas.

“Macam mana acik boleh kahwin dengan Ali ya?” perlahan namun masih kedengaran suaraku. Aku berasa malu untuk bertanya sedemikian, namun rasa ingin tahuku mematahkan rasa malu itu. Apatah lagi kalau hanya dengan emak, maluku jadi berkurangan.

“Kamu ini tanya emak pula. Keluarga dia datang meminang kamu, emak dan ayah setuju, kamu setuju, kahwin lah kamu. Macam mana lagi,” emak pula berbasa-basi kali ini.

“Acik tahulah macam itu mak. Tapi, macam mana emak boleh setuju untuk nikahkan acik dengan Ali? Seingat acik, emak bukan tak bagi ke acik kahwin masa belajar?” aku mula menghemburkan apa yang terbuku di hati.

“Dia datang cara baik, cik. Dia telefon abah kamu. Dia terus terang pada abah kamu katanya dia berkenan dekat kamu dan berniat nak dijadikan calon isteri. Mak pon ditelefonnya dia, cik,” cerita emak sambil senyuman yang melebar di bibirnya.

‘Hmm, dia telefon abah, mak? Biar betol Ali Haidar Hikayat Syah ni,’ getus hatiku.

“Berkenan sungguh emak kat menantu mak seorang itu, sampai tersenyum-senyum mak,” lembut aku cuba menyakat ibuku yang tercinta itu. Lalu aku menyambung bicara,

“Beraninya dia mak. Macam tak percaya pula acik. Emak tahu tak, dulu dia..” perbicaraanku terhenti. Ops, terlepas sudah. Patutkah aku membuka aib suamiku sendiri? Tak patut Fatimah, tak patut.

“Dulu dia apa, cik?” emak kembali bertanya.

Aku tersengih, cuba untuk cover line.

“Tak adalah mak. Dulu dia nakal, alah masa zaman sekolah dulu,” aku cuba mengelak untuk menceritakan sebab sebenar perbicaraanku terhenti dan memberi penjelasan yang general kepada emak. Ya, memang benar Ali Haidar Hikayat Syah memang nakal nombor satu di sekolah dulu.

Emak cuma ambil tak endah tentang kesasulanku. Aku memanjat kesyukuran.

“Mula-mula emak dengan abah pon berat hati juga acik. Ya lah kamu nak kahwin masa belajar. Walaupon sebenarnya mak dengan abah berkenanlah juga dengan budak itu. Baik budi pekertinya,”

Lain macam emak ni, macam berkenan benar dia dengan Ali, hatiku mengomel sendirian. Aku semakin tertanya-tanya apakah benar yang diceritakan emak itu gerangannya si Ali? Lain benar sifatnya dengan apa yang ada dalam ingatanku sekarang. Malah sebelum ini kami sebenarnya memang sudah langsung tidak bertegur sapa setelah “peristiwa” itu. Apa yang membuatkan dia berani menelefon kedua orang tuaku, lalu mengkhitbahku? Ahh, payaunya perasan ini. Perasaan tak boleh hadam! Aku masih tak boleh menghadam bagaimana Ali boleh berubah sebegitu rupa.

Ketika aku masih keliru, ibu menyambung bicaranya.

“Tapi dah keluarga si Ali tu beria-ia dan mempercepatkan akad nikah. Mak dengan abah tak boleh buat apa dah. Nabi kita pon suruh cepat kahwinkan anak gadis yang sudah bertemu jodoh. Sebab itu lah, kami setuju akhirnya,” panjang lebar emak bercerita.

Aku hanya mengangguk-angguk. Ibarat samarinda saja ceritanya, hatiku berbicara. Sebenarnya jauh di lubuk hati terlalu sukar untuk aku menganggap itu benar-benar terjadi kerana aku tidak merasainya.

“Emak, acik macam mana? Awal-awal sudah setuju ke?” aku akhirnya bertanya soalan yang paling aku ingin tahu jawapannya.

Tiba-tiba aku melihat ibu menguntum senyuman.
Pelik benar rasanya, apakah maksud senyuman emak? Aku tertanya-tanya.

“Alah, buat buat tanya pula acik ni. Tengok wajah kamu saja waktu tu, emak dah tahu. Kamu tu malu tapi mahu,”

Oh My God, malunya dengar mak kata macam tu. Tu la Fatimah, yang kau pergi gatal duk buka cerita pasal ni tu buat apa. Kan dah kena gurau ‘manja’ mak. Hohoho.

Jadi, untuk menutup rasa maluku yang rasa macam nak terbakar dah muka ni, aku cuba untuk cover line

Lagi sekali. Heh.

“Jadi, acik tak kena kahwin paksa lah ni mak?” hehe

Mendengar kata kata aku, emak merenung tajam ke arah ku.

“Hehe, okay okay, acik gurau je,” balasku sambil tersenyum kambing.

“Dah sambung potong sayur tu. Nanti lambat pula siap sayur mak ni,”

Dengan sengihan tersisaku, aku menyambung urusan potong memotong sambil ingatanku menerawang.

Dari dahulu lagi aku sangat menginginkan suami yang soleh. Cukup andai dia meletakkan Allah dan Rasul di tangga teratas dalam hidupnya. Tak lebih dari itu. Aku jadi tertanya-tanya apakah benar Ali sekarang memang bukan seperti Ali yang dulu dah?  Namun, jauh di sudut hatiku, aku sangat mahu percaya yang Ali sudah berubah. Aku tak perlu dia berubah hingga menjadi ustaz. Cukup saja andai dia meletakkan syariat Allah di peringkat paling tinggi dalam kehidupannya. Tapi bagaimana kalau…? Ahh. Payau nya perasaan ini.
Aku tunduk dan beristighfar. Ada betulnya kata-kata emak yang namanya ujian itu takkan mudah. Tatkala itu aku lupa janji Allah bahawa perempuan yang baik itu adalah untuk lelaki yang baik. Allah itu kan maha menunaikan janji.

Untuk menghalang dari diriku terus bersu’zhon, aku terus bersuara memecah keheningan.

 “Mak, acik lihat gambar kahwin acik di album tadi. Semua orang nampaknya gembira. Memang meriah, ya mak?” aku lantas mengeluarkan soalan yang “obvious”.

“Alhamdulillah, majlis kahwin kamu hari itu berjalan dengan lancar. Ya lah, semua orang gembira. Lebih-lebih lagi kamu berdua. Tak lekang senyuman mak tengok. Tak apa, mak faham anak mak tengah melalui saat yang sukar sekarang ini. Acik bimbang Ali bukan lelaki yang baik ya?” emak mula mengorek punca kebimbanganku.

Eh, mak ni. Macam tahu tahu pulak. Aku akhirnya perlahan-lahan mengangguk.

“Mak tidak tahu apa yang mak bakal beritahu kamu ini akan meyakinkan kamu atau tidak. Tapi acik kena percaya satu benda, emak dan abah tak akan bagi anak emak dekat lelaki sembarangan. Along kamu pon bagi lampu hijau kat Ali. Kamu tahu lah kan bagaimana cerewetnya along tu bila masuk bab adik-adik perempuan dia. Tengok kakak kamu tu, sampai sekarang tak berlaki lagi,”

Aku diam namun tanganku pantas berkerja untuk menyiapkan kuah sayur lemak emak.

“Bismillah dulu acik,” emak pantas menegur apabila melihat aku laju sahaja ingin memasukkan bahan-bahan ke dalam periuk.

Aku tersengih.


‘Bismillahirahhamnirrahim,”

Bersambung...

No comments:

Post a Comment