Jan 31, 2014

Bab 9 DAFDAA

Kira-kira jam 12 tengah malam, kami sampai di Gombak. Hujan renyai-renyai ibarat mengulit aku untuk tidur lebih nyenyak.

“Awak, dah sampai ni,” perlahan dia mengejutkan aku. Tangannya bertindak menggoncang bahuku.

Aku tersentak dan bingkas cuba untuk bangkit dari tempat duduk.

“Eh, eh, kat mana ni?” jawabku dengan nada cemas. Aku menoleh ke kiri dan kanan beberapa kali.

Terkejut ku ibarat seseorang yang baru ternampak hantu pocong! Aduh, malunya.

Aku sebenarnya memang mudah tersentak. Jantungku lemah dengan kejutan.

“Ki..ta.. dah sampai,” dia mengulangi ayat itu, perlahan, persis seorang ayah melayan kerenah anak kecil. 

Sengaja dia melanjutkan sukukata ‘ki’ dan ‘ta’ itu panjang-panjang. Untuk bagi aku come to my sense agaknya.

Terkebil-kebil mataku. Ketika ini barulah rasional menyertaiku. Akhirnya aku menarik nafas.

“Oh dah sampai,” selesai mengucapkan kata-kata itu, aku diserang rasa malu yang amat. MasyaAllah bagaimana aku boleh tersentak sebegitu rupa.

Aku harap dia tidak terkejut dengan reaksiku yang tidak dibuat-buat itu. Aku memang alah dengan kejutan. Semua ahli keluarga aku sudah masak dengan tabiatku yang satu ini. Malah ada di antara mereka yang sengaja mengambil kesempatan dengan membuat aku terkejut. Andai sahaja mereka tahu apa yang aku rasa. Setiap kali mereka cuba untuk membuat aku terkejut, jantungku ibarat terhenti ketika itu. Namun, aku menganggap tiada yang serius tentang gejala ini. Mungkin sekadar tabiat biasa atau gangguan hormon sahaja.

Aku melihat dia tersenyum. Tidak tahan berlama-lama di situ, aku bingkas bangun dan keluar dari swift itu. Masih merona merah wajahku. Berkali-kali aku memarahi diriku sendiri dek perilaku yang di luar kawalan itu.

Dia pun turut keluar dari kereta dan mengambil beg aku dari tempat duduk belakang. Dia berjalan ke arah pintu dan membuka pintu yang berkunci itu.

Kami sama-sama masuk ke dalam rumah. Aku yang masih terkesan dengan apa yang berlaku tadi, akhirnya hanya melabuhkan punggungku di atas sofa. Mataku terasa semakin berat.

“Kenapa tak masuk bilik, awak?” dia laju bertanya. Dia sibuk mengangkut barang-barangnya dari dalam kereta.

Aku masih terpinga-pinga. Hendak masuk ke bilik, terasa segan.

“Awak masuklah bilik. Jangan risau, saya tidur kat luar macam hari tu.,”

Setelah mendengar apa yang dikatakan olehnya, aku laju menuju ke arah bilik tanpa berfikir panjang lagi.

Malam kian larut. Sang cengkerik mula mengeluarkan irama. Bulan pula indah mempamerkan cahayanya. Semuanya khusyuk dalam zikir dan puji-pujian kepada Tuhan Pencipta alam.

Kring! Kring! Kring!

Jam loceng telefon tanganku berbunyi. Aku cuba menutup alarm itu dan menilik jam di telefonku itu. Tertanya sekarang sudah jam 4.30 pagi.

‘Allah’ mulutku berbisik. Sambil menggosok-gosok mata, aku bingkas bangkit dari tempat tidur. Kemudian aku menganggkat tangan dan berdoa,

“Alhamdulillahillazhi ahyana ba’da ma amaitana wa ilaihin nusyur”

Di dalam hatiku,

‘Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadaNya kami kembali’
Aku menekup tangan dengan perasan yang bersyukur kerana Allah masih sudi meminjamkan hari yang baru buat aku. Aku memasang niat untuk melakukan segala pekerjaan pada hari ini lillahitaa’la.
Aku memandang ke arah sisiku, dia tiada di situ. Sekali lagi aku diruntun rasa bersalah. Tidak sepatutnya aku membiarkan dia tidur di luar. Apatah lagi dia sudah keletihan memandu sepanjang hari. Terusik hati kecilku dengan pengorbanannya.

Sebelum aku ke bilik air untuk mengambil wuduk, aku singgah ke ruang tamu. Aku melihat sekujur tubuh yang sedang lena tidur di atas sofa, tanpa berselimut. Terbit rasa kasihan di sudut hatiku melihat keadaannya. Aku melangkah ke arahnya. Aku berhajat mengejutkannya untuk sama-sama mengerjakan solat tahajjud.

Namun, aku menghentikan langkah apabila qasidah Ya Hanana berkumandang di telefon bimbitnya. Ternyata dia memilih qasidah itu sebagai alarm untuk mengejutkannya dari tidur. Badannya kelihatan bergerak-gerak. Tidak lama kemudian, dia perlahan-lahan bangun tidurnya lalu bangkit dari tempat pembaringannya. Aku tergamam melihatnya. Aku melihat mulutnya terkumat kamit menutur sesuatu. Membaca doa bangun tidur agaknya. Usai, dia mula bangun berdiri dan perlahan-lahan mengatur langkah. Aku pula masih belum berganjak dari tempat di mana aku berdiri.

Akhirnya, pandangan kami bertemu dan entah kenapa, ianya terasa amat indah sekali. Aku terpana melihat seorang lelaki yang sanggup meninggalkan tidurnya untuk bersama Tuhannya.

Dia tersenyum kecil, dan melemparkan riak wajah yang amat menyenangkan. Dia terus berjalan ke arah ku dan seraya berkata,

“Jom, awak,”

Malam itu, kami tenggelam dalam cinta kepada Rab yang Esa. Kami solat tahajjud berjemaah. Usai solat, dia berdoa. Panjang sekali doanya. Aku pula menadah tangan dengan khusyuk.

Aku merasa titik-titik mutiara putih laju menitis di pipiku tatkala mendengar si dia yang bergelar suami syahdu memohon doa pada yang Esa. Benar ini adalah Ali Haidar, dan benar sekali dia telah bergelar suamiku sekarang. Dan lagi benar, dialah yang sedang mengimamkan ku sekarang. Apa yang aku alami sekarang adalah terlalu indah untuk aku hadam. Terlalu manis hingga kadang-kadang membuat kepalaku sakit.


Dengan perasan yang bercampur baur, aku menundukkan wajahku yang hina dina untuk sujud kepada yang Maha Esa. Tanda syukurku. Hanya itu yang mampu aku lakukan buat masa sekarang.

Bersambung...

Jan 27, 2014

Bab 8 DAFDAA

Aku mengenyih-ngeyih mataku. Aku mengerling jam di tangan. Lebih kurang jam 10 malam. Aku melihat Ali di tepi, hanya alunan radio yang menemaninya memandu.

Dengan kepala yang masih terasa berat, aku membuat keputusan untuk hanya berdiam dan cuba untuk membuat diriku selesa. Kali ini, diamku bukan kerana tiada modal tetapi kerana terlalu banyak perkara yang sedang bermain di fikiranku kini. Seiring dengan lagu “Teman pengganti” nyanyian Black yang berkumandang di radio membuatkan fikiranku semakin kewang-awangan. Aku seakan-akan masih tidak dapat menerima kenyataan yang lelaki di sebelahku ini, kini bergelar suamiku. Perasaan tidak percaya pon ada. Tanpa aku 
minta, kisah antara aku dan dia di zaman persekolahan dulu berlegar-legar di kotak pemikiranku kini..

“Kecik, betul ke dia panggil kau Tamil?” tanyaku bersungguh kepada Adila, rakanku ketika di menengah rendah. Kulitnya sedikit gelap berbanding pelajar-pelajar yang lain. Kami memanggilnya kecik kerana badannya yang kecil molek, selalu disalah anggap orang sebagai kanak-kanak.

Sambil mencebikkan bibir, Kecik menjawab,

“Ye lah Fatimah. Dia panggil aku macam itu. Aku pon tak tahu apa yang aku dah buat kat dia. Tak kacau pon rasanya mamat tu,”

“Haih, geram pulak aku mendengarnya. Ada juga lelaki macam itu kan. Bajet dia handsome sangat. Handsome macam mana pon, kalau mulut celupar pon tak ada orang suka juga. Kecik, aku geram ini,” aku membalas dengan berapi-api.

“Sabar Fatimah sabar. Biarlah dia,” Kecik pula cuba menenangkan aku ketika itu.

Begitulah first impression aku kepada lelaki bernama Ali Haidar Bin Hikayat Shah. Aku menganggapnya sebagai pelajar lelaki yang ‘bajet cute’ kerana wajahnya yang jambu. Dia juga seorang yang sering cakap lepas ketika di bangku sekolah dahulu. Lebih-lebih lagi kepada pelajar perempuan. Dia memanggil orang sesuka hati mengikut pemerhatiannya daripada fizikal seseorang. Namun, aku tidaklah mengenalinya secara rapat kerana dia bukan satu kelas denganku. Walau begitu, rakan rapatku yang juga merupakan pelajar perempuan yang sekelas dengannya sering bercerita kenakalannya kepada aku dan rakan-rakan yang lain. 
Cukuplah aku mengenalinya sebagai mamat yang ‘bajet cute’ dan ‘mulut laser’.

“Sayang,”

Panggilan itu membawa aku ke alam realiti. Tersentak jantungku. Terasa baru semalam zaman persekolahan yang penuh keceriaan dan kegembiraan itu. Kini aku harus berdepan dengan kenyataan. Slogan ‘hidup harus diteruskan’ ku pegang erat-erat.

“Mengelamun pasal abang ya?”

Dia memberi teka-teki yang amat payah untuk aku selesaikan. Seolah-olah dia dapat membaca riakku. Apa dia ni, Nujum Pak Belalang? Haish.

“Er, er, tak adalah. ” aku cuba untuk cover line dengan harapan cover line aku itu tidak terlalu obvious.

“Abang rasa baik kita berhenti untuk solat dahulu. Lepas tu kita makan ye?”

Aku mengangguk dan menarik nafas lega. Kemudian, aku berpaling ke arahnya tanpa bicara. Tanpa aku sedar, wajahnya ku tatap. Siapakah dia ini? Walaupun wajahnya mirip Ali Haidar b. Hikayat Shah namun perwatakannya berbeza sekali. Apa yang sudah berlaku dalam masa dua tahun ini? Aku berfikir tanpa henti.
Apabila dia memalingkan wajahnya ke arahku, pandangan mata kami bertemu. Aku terpana seketika. Jarak wajah kami hanya satu depa. Sepantas kilat aku memalingkan wajahku ke hadapan. Dia terkebil-kebil melihatku.

“Kenapa? Ada something kat muka abang ke? Air liur basi? Tapi rasanya sayang yang tidur,” dia bertanya sambil memgerling sekilas ke cermin sisi.

Dengan pantas aku menggeleng. Aku yang masih terkejut dengan pandangan kami yang bertaut tadi terus menjawab,

“Tak tak tak ada apa-apa,” masyaAllah, macam mana aku boleh tergagap-gagap pula ini. Aku terasa merona merah wajahku menahan malu ketika itu.

Dia perasan dengan ketidakselesaan aku. Dia menjadi turut serba salah. Akhirnya dia menunduk dan melepaskan keluhan kecil.

“Abang masih buat sayang tak selesa ya?” dia bertanya dengan nada perlahan namun masih tetap jelas di pendengaranku.

Aku diruntun rasa bersalah apabila mendengar keluhan kecilnya. Aku tahu dari tadi dia cuba untuk merobohkan benteng antara kami. Aku tahu dari tadi dia berusaha untuk berlagak seperti biasa, untuk membuat aku selesa. Dia bergurau pelbagai cara. Aku nampak usahanya. Namun, entah, aku sendiri tidak tahu mengapa. Mulutku masih berat untuk menutur kata. Ah, payaunya rasa ini. Ya Tuhan, aku memang ingin menjaga hati suamiku ini. Tapi lidahku ibarat terkunci. Sepuluh patah dia bertanya, hanya sepatah jawapan yang keluar dari mulutku. Barangkali ‘ikatan’ segera kami ini masih membuat aku dalam keadaan shock.

Melihat aku diam, dia tersenyum kelat.

Entah mengapa, ekpresi wajahnya sekarang hanya di interpretasikan oleh mindaku sebagai ekspresi seseorang yang kecewa. Aku sangat terkesan dengan ekspresi itu. Dalam diam aku memarahi diriku sendiri kerana sangat cuai dalam menjaga perasaan suami. Sepatutnya aku teruskan berhusnuzhon, bukannya mengikut jejak syaitan dengan meragui suami sendiri. Aku sebenarnya tahu di sebalik wajahnya yang ceria, dia sebenarnya adalah seorang yang sangat sensitif. Aku beristighfar di dalam hati.

Sedang otakku ligat berfikir untuk menjernihkan atmosfera janggal antara kami ni. Ali membelok masuk ke kawasan RnR Temerloh.

“Awak, jom kita solat dan makan kat sini dulu eh. Kita solat dulu, nanti kita jumpa kat kedai makan nombor 16 tu. Okay?”

Aku yang masih terpinga-pinga, tenggelam dalam fikiranku tadi, hanya mampu mengangguk kecil tanda setuju.

‘Ah sudah Fatimah, kau buat apa ni? Kalau Ali terasa hati, merajuk macam mana?’ getusku sendirian sambil berjalan ke arah surau wanita.

Usai solat aku terus menuju ke arah gerai nombor 16. Ali sudah berada di situ. Dia melemparkan pandangan kosong ke arah beberapa orang yang turut berada di kawasan perhentian itu.

“Awak dah order? Awak nak makan apa, meh saya orderkan,” sapaku setiba sampai di meja Ali melabuhkan punggungnya. Aku sengaja ingin meringankan tulang, dengan harapan Ali  tidak berkecil hati apa yang terjadi sebentar tadi.

“Dah siap? Meh duduk meh. Tak yah susah-susah, nanti ada orang ambil order,”Ali laju bertutur sambil menarik lembut tanganku untuk duduk di sisinya.

“Bos, order,” terus Ali memanggil salah seorang pekerja gerai itu.

Aku sedikit terpinga-pinga apabila niat baikku diambil alih oleh pekerja gerai tersebut.

 “Ooo, ingatkan macam food court, kena order sendiri makanan,” aku berbisik sendirian.

Ali yang mendengar suara perlahanku tadi hanya tersenyum nipis. Sedang kami sedang menikmati juadah dari gerai nombor 16 itu, Ali mula membuka bicara.

“Amboi selera awak makan, Fatimah. Tubuh kecik, makan banyak jugak awak ek,”

Sambil mengunyah nasi goreng pattaya, aku membalas,

“Eleh awak tu apa kurangnya. Dah orang lapar, macam ni la gayanya,” selamba aku membalas.

“Mana ada saya makan banyak, ni dah normallah orang laki makan banyak ni,” dia segera menafikan.

“Ea? Normal ea tambah dua kali? Macam along saya lah awak ni. Cuma beza kat perut je. Saya rasa kalau awak amal makan macam ni lama-lama, nanti mesti berjaya awak dapat anugerah perut buncit macam along saya tu,” bidasku sambil tersengih.

“Tak nak saya perut macam along awak. Nanti dah tak jadi hot settuf dah. Saya kan hot settuf,”

Tak jadi aku menyuapkan suapan nasi goreng pattayaku yang terakhir apabila mendengar pengakuan berani mati dari Ali Haidar ni. Aku terus mengeleng-gelengkan kepalaku.

Hot settuf??  Haha,”akhirnya ketawaku pecah.

“Tu yang ramai awek tu kan,”aku menambah lagi secara spontan.

“Mana ada ramai awek, sorang bini je ada. Hehe,”

Gulp. Okay tampar pipi sikit Fatimah. Kata-kata terakhir Ali itu membuatkan aku kembali teringat statusku dengannya. Ketawa ku terhenti, aku terus terdiam. Wajahku teras panas, seakan manik-manik peluh bakal menitik dari wajahku. Apa perasan yang aku sedang alami sekarang? Wait, am I blushing? Kawal Fatimah kawal, depan Ali ni.


Dengan muka yang agak ketat, aku akhirnya hanya tersengih kekok dan terus menghirup sisa sirap limauku.

Bersambung...

Bab 7 DAFDAA

Senja kian menjelma. Matahari kini bersiap siaga untuk melabuhkan tirainya. Bulan pula semakin ghairah untuk melaksanakan perintah Tuhan dengan menampakkan dirinya. Semua pelajar UIAM Kuantan sibuk dengan hal masing-masing. Ada yang baru hendak turun ke kafe untuk membeli juadah makan malam, ada juga yang baru pulang dari jogging di Tasik Bandar, tak kurang juga berkurung di dalam bilik masing masing-masing.

Aku memerhatikan gelagat penghuni UIAM dari jendela bilikku sementara aku memasukkan telekung solat ke dalam beg sandang kecil yang kubawa kemana-mana sahaja ku pergi. Aku kini telah bersiap sedia untuk ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Semenjak masjid telah ditubuhkan, hatiku terpaut kepada masjid itu. Solat di masjid UIAM itu terasa amat tenang. Rasanya seperti menjadi tetamu jemputan Allah apabila berpijak di rumah Allah itu. Dek kerana perasan yang sayu dan tenang yang aku perolehi setiap kali berkunjung ke masjid, aku tidak akan melepaskan peluang setiap kali mempunyai masa terluang terutama di waktu maghrib dan isyak.

Dengan berpakaian jubah coklat cair, aku menyapu minyak wangi kasturi yang telah dibacakan ruqyah di pergelangan tanganku. Pada aku, jika hendak menjadi tetamu di rumah Allah, hendaklah aku berwangi-wangian dan mengenakan pakaian yang terbaik. Bukankah yang akan aku temui nanti ialah Khaliqku? Masakan bersahaja, jika hendak bertemu sultan sahaja harus bersiap dengan pakaian kuning bersamping bagai, ini pula bertemu untuk Tuhan. Allahu Akbar.

Aku mengerling ke arah katil lalu tersenyum.

‘Alhamdulillah, siap juga aku packing baju walaupun tadi siang rancak berbual dengan Ana hingga tidak sedar waktu berlalu,’ dalam diam aku memanjatkan kesyukuran.

Sebelum berjalan ke masjid, aku sempat menyemak mesej di inbox telefon tanganku.

“One Message Received”

‘Salam. Sayang, abang dah selesaikan kerja abang. InsyaAllah, abang akan solat maghrib di Masjid UIAM. Kita nak jumpa di mana nanti?’

6.15 pm

Alamak, tak perasan ada dia hantar mesej. Cepat-cepat aku menekan butang ‘reply’

‘InsyaAllah saya pon nak ke masjid. Kita jumpa di depan masjid sahajalah nanti ya. Maaf lambat balas, saya tak perasan ada mesej awak.’

Setelah butang ‘sent’ kutekan, terdengar laungan namaku di panggil oleh Eyqa dan Ana. Mereka menungguku untuk ke masjid bersama-sama.

Aku terfikir sama ada dia sempat membaca mesejku itu, memandangkan waktu maghrib hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi. Mungkin dia kini sudah di masjid. Tidak mengapalah, mungkin lebih baik aku fokus untuk menunaikan solat maghrib nanti. Aku tidak mahu solatku nanti disertai dengan fikiran dunia. 

Malu benar rasanya dengan Rabbiku. Sudah banyak nikmatNya yang aku nikmati, masakan beberapa minit waktu untuk solat, tak mampu untuk aku betul-betul memberi sepenuh perhatian kepada Allah. 

Seterusnya perjalanan kami ke masjid, kami masing-masing sertainya dengan zikir puji-pujian kepada Allah, yang maha layak ke atas segala puji-pujian.

Selesai solat Maghrib, kami bersalam-salaman. MasyaAllah ketika itu terasa betapa cantiknya aturan Allah. Dengan solat secara berjemaah, ukhwah kami terasa sangat rapat. Bukan sahaja kami bertiga, namun dengan seluruh jemaah muslimat yang datang ke masjid ketika itu. Dengan hanya bersalaman antara satu sama lain, kami merasakan bahawa kami adalah satu. Tidak perlu kata-kata yang panjang, tidak perlu perbualan duniawi, tidak perlu tempoh masa yang lama, hanya dua saat bersalaman dan bertukar senyuman cukup untuk mengikat hati-hati kami. Ini adalah kerana, kami bersatu di bawah iman dan paksi kepercayaan yang sama. Cukup dengan cinta kepada Allah dan RasulNya, Nabi Muhammad SAW, ukhwah boleh terbina dengan sekelip mata. Tabarakallah!

Kemudian aku menunaikan solat sunat ba’diyah dua rakaat. Usai, aku meminta izin pulang dari Eyqa dan Ana. Aku harus pulang dahulu kerana aku telah berjanji dengan lelaki itu untuk bertemu di hadapan masjid selepas solat Maghrib.

Aku berjalan keluar dari masjid. Kelihatan dari jauh susuk tubuh yang aku kenali. Dia berdiri di sebelah swift hijau miliknya. Aku mendekati dia. Terasa sedikit berdebar-debar jantungku.

“Assalamualaikum,” aku menyapa.

“Waalaikummussalam warahmatullah,” jawabnya, sedikit terkejut. Dia tidak menyangka aku akan muncul dari belakang.

“Dah lama awak tunggu?” aku berbasa-basi.

“Tak adalah, abang pon baru sahaja sampai kat sini,” jawabnya sambil tersenyum.

Aku melihat dua orang pelajar sister junior berjalan melepasi kami sambil menoleh-noleh ke arah kami. Walaupon aku dan dia sudah bergelar suami isteri, namun aku masih terasa segan apabila ada yang melihat sebegitu. Tambahan pula aku yang kini bertudung labuh bersama seorang lelaki di tempat yang agak suram. 

Tanpa sepatah bicara, aku tunduk.

Ibarat memahami gelisah hatiku, dia tangkas bersuara,

“Sayang, jom. Tak sedap pula abang rasa duduk kat sini lama-lama. Takut jadi fitnah pula nanti. Gelap ni,” dia laju menuturkan kata sambil merapatkan wajahnya ke cuping telingaku. Lagaknya seperti ala-ala berbisik kepada aku. Aku terkejut bukan kepalang dengan tindakannya yang tidak aku sangka-sangka itu. Kakiku sedikit terganjak ke belakang. Apabila melihat reaksiku, dia ketawa kecil. Semakin dalam tundukku.
Tak lama kemudian aku menganggkat muka. Tidak mahu berlama-lama di situ, aku terus menuturkan kata,

“Mari awak. Kita kena singgah di mahallah saya dulu. Saya hendak ambil beg baju saya. Ya?” aku pantas berjalan ke arah pintu kereta.

“Baik sayang. Abang pon dengar banyak anjing di UIA Kuantan ni kan,”

Aku mengangguk dan terus memuatkan diriku ke dalam swift hijau itu.

Dia juga telah masuk ke dalam kereta dan melabuhkan punggung di tempat duduk pemandu. Tak semena-mena dia bersuara,

“Sayang tak nak salam abang ke?” pendek namun mampu menghadiahkan serangan supersaya untuk hatiku.

Mendengarkan kata-katanya, mataku terkebil-kebil. Astaghfirullah, aku sendiri tidak tahu macam mana aku boleh terlupa untuk menyalami tangannya. Mungkin kerana aku terlalu segan tadi.

Untuk seketika, aku tak mampu bersuara. Aku menarik nafas dan mengumpulkan semua kekuatan yang aku ada ketika itu. Aku berpaling ke arahnya.

“Maaf,” aku cuba sedaya upaya untuk mengawal suaraku sambil menghulur tangan ke arahnya.

Dia menyambut huluran tanganku, lalu aku menundukkan kepala dan mencium kedua tangannya.

“Tak apa sayang,” dia bertutur lembut sambil sebelah lagi tangannya menyapu lembut ubun-ubun aku. Aku terasa damai.

‘Ya Allah, inikah lelaki yang Kau hantar untuk menjagaku dari pihakMu ya Allah? Diakah yang akan membimbingku sehingga aku mampu mengenal dan mencintai Mu dengan lebih mendalam ya Allah? Diakah yang akan menjadi temanku di syurga FirdausiMu kelak ya Allah?’

Lintasan hati demi lintasan hati memuncak di mindaku kini. Sehingga aku terasa seperti manik-manik putih bakal mengalir turun di pipiku. Namun, sedaya upaya aku tahan.

Aku lalu menggangkat wajahku dan melemparkan pandangan ke hadapan. Dengan suara yang paling perlahan, aku berkata,

“Maaf awak, saya terlupa,”

Dia tersenyum dan mula menghidupkan enjin kereta.

“Takpe,”

“Eh, awak tahu ke kat mana mahallah saya?” aku kembali bertanya dengan nada hairan apabila dia memandu dengan yakin tanpa bertanya arah kepada aku.

“Mestilah abang tahu sayang. Ini bukan pertama kali abang datang sini,” selamba dia berkata-kata.
Terdiam aku. Ya tak ya juga, aku menggangguk sendiri. Dia pula ketawa kecil melihat gelagatku.

“Abang kena berhenti kat sini kan? Tak boleh pergi ikut jalan belakang kan? Ke dah boleh sekarang? Hari tu sayang tak bagi, katanya akan masuk kawasan asrama sister. Bimbang ganggu privacy,”

“Saya ada bagitahu macam tu ya? Betul lah tu, kalau ikut jalan belakang, awak akan nampak bangunan mahallah sister. Saya bimbang awak akan nampak apa yang tak sepatutnya nanti,” aku laju menjawab pertanyaannya.

Dia tersenyum mendengar jawapanku.

“Okay, abang tunggu kat sini. Sayang pergilah ambil beg sayang. Ke nak suruh abang temankan?”
Aku tergelak mendengar cadangan daripada dia itu. Kalau hendak lalu ikut jalan belakang pon aku tidak bagi, apatah lagi untuk menemani aku hingga ke bilik. Ada-ada saja dia ini.

“Kalau tak malu, marilah temankan saya,” aku menjawab selamba sambil membuka pintu kereta. Mulalah tu nak mengusikku. Dalam diam, mulutku menguntumkan senyuman.

Dia tersengih sendiri.

“Tunggu saya kejap ya,” aku menyudahkan ayat sebelum keluar meninggalkan nya di dalam kereta. Lalu aku menghadiahkan senyuman buatnya. Senyuman yang tidak dibuat-buat.

Setelah aku selesai mengambil barang-barangku, kami mula berangkat ke Gombak. Aku sempat menghantar sms kepada Ana dan Eyqa, bimbang aku dianggap menghilang tanpa jejak oleh mereka. Sempat juga aku meminta doa daripada mereka, supaya kami selamat sampai dan yang terbaik untuk aku. Aku yakin yang mereka pasti akan mengerutkan dahi apabila membaca smsku yang menggambarkan aku seakan-akan pergi untuk memperjuangkan sesuatu. Aku sendiri tidak tahu mengapa tanganku tergerak untuk menaip begitu, mungkin kerana pantulan dari diriku yang sangat berdebar-debar untuk hari esok.

Berada di dalam sebuah kereta bersama seseorang yang bergelar suami, terasa seperti sebuah mimpi.  Lebih-lebih lagi apabila orang itu adalah dia. Maha Suci Allah, sungguh ajal dan jodoh itu adalah rahsia besarNya. Sepanjang usia ingatanku, iaitu di tahun satu, masih belum ada rakan-rakan yang melangsungkan perkahwinan. Namun, kami sentiasa mendapat berita-berita perkahwinan senior-senior. Walaupun aku sering digelar ‘wanita hati keras’ oleh rakan-rakanku, namun aku akui hatiku sebenarnya sangat rapuh. Hanya, aku tidak menunjukkannya kepada orang lain. Hatiku juga kadang kala terdetik apabila melihat pasangan yang bernikah awal. Apatah lagi apabila dua sejoli sama cantik, sama padan, sama soleh dan solehah.

 Aku mendapat gelaran ‘wanita hati keras’ itu dek kerana sikapku yang tidak begitu ambil tahu perihal pelajar lelaki. Aku kurang bergaul dengan brothers kecuali apabila ada keperluan seperti bekerja dalam organisasi yang sama.

Oleh kerana sikapku itu, aku sering kali disalahanggap sebagai sombong, walhal aku melakukan itu untuk menolong mereka juga. Aku amat mengerti bahawa fasa usia muda remaja ini adalah fasa yang paling mencabar bagi lelaki. Sebagai seorang perempuan, aku tidak mahu kerana aku mereka terhumban ke lembah dosa. Aku tidak mahu menjadi penyebab mereka tidak menjaga mata. Oleh kerana itu, aku menyekat pergaulanku dengan mereka seperti yang telah digariskan oleh Khaliqku. Aku juga tidak mahu untuk turut terjebak ke dalam kancah cinta palsu. “Cinta” yang telah diprogandakan oleh Barat. Idealisme-idealisme seperti ini seperti merebak ke dalam minda anak-anak muda seperti barah. Laju dan tiada bernoktah. Yang lebih menakutkan adalah mereka percaya bahawa itu adalah kebebasan yang mereka idam-idamkan. Gaya hidup yang sangat stylo dan seronok.

Aku terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga supaya aku tidak tergolong dalam golongan yang pada hematku, sudah menipu diri sendiri dan terkeluar daripada fitrah sebenarnya.

Aku jadi terfikir, bagaimana mungkin Ali menjadi suamiku kini. Dia dahulunya adalah salah satu ujian yang aku anggap Allah datangkan dalam hidupku, untuk aku terus bermujahadah dalam memelihara definisi cinta yang sebenar dari Tuhanku. Dia pernah datang dalam hidupku. Ketika itu, aku juga masih rapuh namun syukur, aku bisa membezakan ‘cinta palsu’ yang ditawarkan. Dia tidak meletakkan Allah dan Rasul di tangga teratas. Dia mangsa silibus cinta palsu yang diajar oleh media arus perdana. Bukan kahwin, tetapi couple yang ingin dijadikan sandaran dalam mendekatiku. Astgahfirullah. Namun, ianya suatu ketika dahulu. Mungkin sekarang sudah tidak sama. Harap-harap.

Lima minit kemudian, aku kembali dengan menggalas beg berjenama Deuter yang bersaiz 3.2 L.

Setelah menempatkan begku di tempat duduk belakang, aku kembali melabuhkan punggungku di tempat duduk sebelah pemandu.

“Dah?” dia bertanya.

“Dah,” aku menggangguk.

“Okay, jom.Bismillahirahmanirahim,”

Dia selanjutnya terus membacakan doa menaiki kenderaan sebelum memulakan perjalanan kami ke Gombak. Aku hanya mengangguk dan tersenyum dengan senyuman yang terpaksa aku buat-buat. Hatiku terasa seperti dilanda ombak debaran yang amat kencang. Inilah saatnya aku terpaksa berdua-duaan kembali dengan my so-called husband, Ali Haidar Hikayat Syah.

‘Fatimah, he’s not your so-called husband okay. He’s your husband. Real one. Segala dosa kau dia yang tanggung, okay,’ hatiku berperang sesama sendiri.

“Okay Fatimah Raudhah, misi untuk malam ni. Berkata yang baik-baik saja ataupun diam,” sekali lagi aku berbisik sendiri. Aku mengangguk angguk perlahan kepalaku.

Perlahan-lahan bersama enjin kereta yang kedengaran, aku membawa keluar telefon bimbitku. Lalu aku buka aplikasi “Pau.” Aku berkira-kira untuk memberi makanan kepada “Pau” aku yang rasanya sudah sebulan lebih diabaikan oleh aku. Sebelum keadaan janggal yang memonopoli atmosfera kami, baik aku cuba menyibukkan diriku dengan bermain “Pau” heh.

Kalau kira memang banyak sangat yang aku nak tanyakan kepada Ali. Tapi mungkin sebab rasa segan yang membuatkan bibirku seakan terkunci rapat ketika ini.

“Bagi makan Pau?” dia memecah kebisuan antara kami.

“Yep, dah lama tak bagi makan kat dia. Dah sebulan,” aku menjawab jujur.

Aku melihat Ali menguntum senyuman.

“Kesian kat Pau tu. Mesti busy sangat isteri abang ni. Nasib baik Pau tu tak hidup betul-betul, kalau tak mesti jadi macam abang,”

Sebenarnya aku sedikit rasa nak tergelak apabila dia bahasakan dirinya abang sebab macam pelik je bagi aku Ali Haidar duk bahasakan diri macam tu. Tambah lagi, kiteorang pulak sama umur sahaja.

“Kenapa pulak dengan awak?”aku membalas.

“Ye lah. Sayang tak perasan ke bang sekarang ni dah makin kurus. Rindu masakan sayanglah,” jawabnya selamba sambil mengenyitkan mata ke arahku.

Aku yang ketika itu sedang meneguk air masak, cuba untuk mengawal air supaya tak tersembur keluar. Aku cepat-cepat menekup mulutku dengan tangan. Kang tak pasal-pasal habis basah satu kereta ni kan.

“Hahaha, kenapa sampai macam tu?”

Amboi sedap pula dia gelakkan orang. Kita tersedak pon sebab dia jugaklah, gomelku di dalam hati.

Setelah ketawanya reda, dia kembali bertanya,

“Macam mana kuliyah, okay? Sayang nampak macam penat. Takpe sayang tidurlah dulu ya,”

Aku tersentak dengan keprihatinannya. Sebenarnya aku memang sangat penat. Hari ni seharian aku berulang alik ke kulliyyah untuk menyelesaikan urusan FYP. Letih sangat rasanya. Namun, aku pasti dia juga penat kerana sudah seharian memandu dari Gombak kemudian menyudahkan ‘kerjanya’ dan kini harus memandu balik ke Gombak semula.

“Awak okay ke? Awak dah seharian memandukan?”

“Takpe lah sayang, abang dah biasa,” jawabnya sambil tersenyum.

“Dah dah. Cukup cakap, tutup mata tu. Kang abang start nyanyi lullaby song kan, makin tak boleh tidur sayang,”tambahnya lagi dengan nada ayat perintah.

‘Awak dah biasa, saya ni yang tak biasa-biasa lagi awak panggil ‘sayang’. Seriau huhu,’ getusku di dalam hati.

“Dah tidur belum tu?  Nak abang dodoikan betul-betul ke?”

“Kalau dah tidur, macam mana nak jawab,” protesku perlahan.

“Apa sayang?” tanyanya lagi.

Aku tahu dia mendengar, tapi saja buat-buat tanya kerana sengihan di bibirnya itu semakin menjadi-jadi.

“Eh, tak de pape. Nak tidur la ni. Dada. Good night,”


Hajatku sebenarnya hanyalah untuk menutup kelopak mata seketika kerana aku juga bimbang membiarkan Ali memandu seorang diri. Sekiranya dia berasa mengantuk sekurang-kurangnya aku ada untuk mengganti. Tapi ternyata awal-awal lagi aku sudah terlena. Kelopak mataku terasa semakin berat dan akhirnya aku dibawa jauh ke alam mimpi. Dan harap-harap tiada air liur basi. Heh.

Bersambung...